http://ani.cursors-4u.net/anime/images13/ani1221.png

Monday, 25 April 2016

MAKLUMAT SMK PADANG TEMU

SEJARAH SEKOLAH. 


    Sejarah SMKPT bermula dengan pendaftaran pertama pelajar Tingkatan 1 dan 2 seramai 404 orang pada 02.01.2001. SMKPT telah siap dibina oleh JKR. Sekolah ini dibina kerana permintaan penduduk tempatan bagi menampung bilangan pelajar semakin ramai untuk melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah.

Nama SMKPT dipilih sempena nama Mukim Padang Temu. SMKPT terletak 5 km dari Bandar Melaka dan keluasannya ialah 10 hektar yang mana tapak asalnya merupakan kawasan sawah padi. Sekolah ini mempunyai 4 blok bangunan dan sebuah dewan. Jumlah bilik darjah 35 buah dan sebuah surau. Terdapat juga kemudahan-kemudahan seperti sebuah bilik pengawas, bilik kaunseling, bilik kesihatan / pergigian, bilik mesyuarat, pejabat, bengkel dan makmal. Pada tahun pertama seramai 29 orang guru dan 4 orang kakitangan bukan akademik telah bertugas di SMKPT. Manakala sekolah-sekolah penyalur adalah terdiri daripada SK. Padang Temu, SK. Bendahara Seri Maharaja, SK. Telok Mas, SK. Duyong dan SRJK Kuang Yah.
Sejak tertubuhnya sekolah ini telah diterajui oleh 8 orang pengetua. Pengetua pertama yang menerajui sekolah ini ialah Tn Hj Omar bin Saban dari tahun 2001 ~ 2004. Pengetua kedua pula En Tan Eng Hwee yang memegang jawatan dari tahun 2004 ~ 2006. Manakala Tuan Hj Ramli bin Othman mengetuai kepimpinan sekolah ini selama 1 tahun sahaja iaitu 2007. Seterusnya Tuan Hj Ashaari bin Hj Johari memegang jawatan pengetua hanya dalam tempoh 4 bulan kerana perkhidmatannya diperlukan oleh Jabatan Pelajaran Negeri Melaka. Jawatan Pengetua ke 4 telah diisi oleh En Razali bin Bahrom mulai Mei 2007 hingga Disember 2008. Seterusnya Jawatan Pengetua disandang oleh Pn Latifah binti Harun mulai Disember 2008 sehingga mac 2012. Kemudian jawatan tersebut disandang oleh Pn. Rosni binti Leman mulai mac 2012 sehingga 2014. Kini jawatan pengetua disandang oleh Tuan Ahmad Kamal bin Mohd Don bermula 2014 sehingga kini.
SMK Padang Temu telah mempunyai perubahan dalam beberapa aspek antaranya bilangan guru telah meningkat seramai 80 orang, kakitangan bukan akademik seramai 13 orang. Bilangan kelas telah bertambah menjadi 35 kelas aliran arus perdana dan 5 kelas Pendidikan Khas (masalah penglihatan dan disleksia). dengan bilangan pelajar seramai 912 orang. Kemudahan fizikal juga telah ditambah dengan membuat pengubahsuaian seperti menyediakan makmal bahasa, pusat sumber, bilik tayang, bilik sukan, bilik PJK, bilik MPV, bilik LKTK, bilik SPBT, bilik BOSS dan bilik klinik Matematik. Dalam bidang akademik SMKPT telah menempa beberapa kejayaan dengan melahirkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan PMR dan SPM. Pada tahun 2009, keputusan PMR sekolah mencatat 52.7% dan 4 orang pelajar memperolehi 6A, manakala pada tahun 2009, keputusan SPM sekolah mencatat 97%, keputusan terbaik berbanding tahun-tahun lalu. Seramai 2 orang pelajar telah berjaya memperolehi 9A.
Dalam bidang perkembangan sahsiah, peningkatan disiplin dan kepimpinan murid diberi perhatian utama oleh pihak sekolah. Pihak sekolah sentiasa telus dalam menangani masalah disiplin dan sentiasa sedar bahawa disiplin adalah tunggak kepada kejayaan murid. Dari semasa ke semasa tahap disiplin murid terus ditingkatkan melalui perbagai program anjuran unit HEM dan Panitia Pendidikan Islam.
Dalam bidang ko-kurikulum, SMKPT telah berjaya menempa rekod kecemerlangan di peringkat negeri dan kebangsaan. Di peringkat negeri seorang atlet sekolah telah berjaya merangkul 3 pingat emas dalam acara jimnastik artistik serta 1 pingat gangsa di peringkat kebangsaan (MSSM). 2 orang pelajar telah memenangi masing-masing pingat perak dan gangsa dalam sukan menembak SUKMA XII. Pasukan JPAM yang di wakili oleh 7 orang pelajar sekolah ini telah berjaya membantu pasukan JPAM Melaka muncul sebagai johan keseluruhan dalam perkemahan tahunan JPAM peringkat kebangsaan yang dijalankan di Johor Bahru pada tahun lepas.
Sejajar dengan penstrukturan semula perjawatan di Kementerian Pelajaran Malaysia,; pada bulan Julai 2008 sekolah telah menerima perjawatan 4 orang Guru Kanan Mata Pelajaran (GKMP) yang dipilih dalam kalangan guru-gurunya sendiri. Dan pada tahun lepas seorang Guru Penolong Kanan Pendidikan Khas telah ditempatkan di sini.

Pada Jun 2009, dewan sekolah dengan rasminya telah diberi nama “Dewan Seri Temu” yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali bin Rustam.


ALAMAT SURAT-MENYURAT. 
   Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Temu







Km.5, Padang Temu
75050, Melaka
Melaka, Malaysia
No Tel : 06-2820117

No comments :

Post a Comment